Dulu masa buka sesi persekolahan 2007 ni, ana ada tulis tentang pelbagai tugas yang perlu dipikul oleh seseorang guru di sekolah. Ada tugas di bahagian Kurikulum, ada tugas di bahagian Ko-Kurikulum dan ada tugas di bahagian Hal Ehwal Murid. Setiap bahagian ini diketuai oleh seorang Guru Penolong Kanan (GPK) dan dalam setiap bahagian ini ada unit-unitnya yang kecil bertujuan untuk membantu GPK dalam melicinkan pengurusan dan pentadbiran dalam sesebuah sekolah.
Antara bahagian yang penting ialah Hal Ehwal Murid (HEM), manakala unit yang paling utama dan terpenting dalam bahagian ini ialah Unit Disiplin. Di sekolah ana dipanggil Badan Disiplin dan Pengawas Sekolah. Entah macam mana, dalam mesyuarat guru pada akhir tahun lepas sebelum bermulanya sesi persekolahan 2007 ini, nama ana diumumkan untuk menerajui unit ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terkejutnya ana bila diberi tugas yang hardcore itu. Maklumlah, sudahlah ana baru hanya ada pengalaman selama 2 tahun menjadi guru, malah ana pun kira baru setengah tahun sahaja dipostingkan secara rasmi di sekolah. Tak termasuk lagi belum ditemuduga untuk perlantikan ke jawatan tetap, malah memang belum confirm (sah) lagi jawatan guru yang disandang ini. Jadi, kesimpulannya ana rasa tiada kelayakan untuk menjadi Guru Disiplin.
Walau bagaimanapun, di sana sudah tentu ada hikmah di sebalik takdir Ilahi ana menjadi guru disiplin. Seperti yang ana sebut dulu, ana sentiasa mengambil sikap dan berfikiran positif dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran yang mendatang. Hakikat dan realitinya memang ana sepatutnya tidak layak untuk menjadi guru disiplin, tetapi sebenarnya apa yang hendak diberitahu secara tersirat bahawa ana perlu belajar dan terus belajar menjadi guru disiplin. Jika ana tidak dilantik menjadi guru disiplin, sampai bila pun ana tak reti nak menguruskan disiplin di sekolah.
Melihat kembali sudah lebih kurang 3 bulan ana menjadi guru disiplin, sedikit sebanyak ana sudah menyelesaikan beberapa tugas dan perkara penting yang sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu, alhamdulillah. Tetapi, masih banyak lagi yang perlu ditampung sana-sini untuk memperoleh rasa puas hati dengan kerja yang dilakukan. Dalam tempoh tersebut ana banyak berjumpa dan bertanya kepada guru-guru senior terutamanya GPK HEM dan lain-lain yang memang banyak pengalaman tentang hal ehwal disiplin ini.
Sebagai seorang guru agama yang dipanggil ustaz, sudah tentu ana perlu mengambil kesempatan terhadap tugas yang diamanahkan ini. Sebagai orang yang lebih tahu dalam bab-bab agama ini berbanding guru-guru lain (mungkin), maka wajiblah bagi ana untuk menggabungjalinkan disiplin dengan adab dan akhlak Islam. Islam adalah agama yang berdisiplin. Segala undang-undang, peraturan dan hukum-hakam yang ada di dalamnya bertujuan untuk membentuk umat dan penganutnya berdisiplin. Sama ada berdisiplin dengan Allah atau berdisiplin sesama makhluk Allah. Maka, untuk melahirkan murid-murid yang berdisiplin, macam mana sekalipun perlulah kembali kepada Islam.
Hendak menyelesaikan sesuatu masalah disiplin dengan cara memisahkan disiplin dengan Islam adalah suatu yang tidak lojik. Menyelesaikan sesuatu masalah disiplin dengan bersandarkan kepada akal fikiran dan teori manusia semata-mata adalah sia-sia dan membuang masa. Hendak menyelesaikan sesuatu masalah disiplin itu perlulah terlebih dahulu merujuk pada cara penyelesaiannya yang digariskan oleh Allah dalam Al-Quran dan cara yang dibuat oleh Nabi SAW dalam hadis-hadis baginda. Kadang-kadang kita melihat dan mendengar pelbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah-masalah disiplin yang agak melucukan dan menunjukkan lagi belang kelemahan manusia yang cetek ilmu dan cetek wawasan ini.
Begitulah yang terjadi apabila disiplin disekulerkan dari agama. Bila kita nak menyelesaikan masalah disiplin, kita tidak mahu bercakap tentang agama. Tiada kaitan antara disiplin dengan agama. Padahal dengan agamalah manusia boleh berdisiplin. Tengoklah hari ini betapa dungu dan bodohnya manusia apabila mencadangkan banyak tempat dipasangkan CCTV, hanya untuk menjaga manusia supaya tidak melanggar peraturan dan undang-undang. Kalaulah manusia ingat kepada Tuhan, kalaulah umat Islam ini ingat kepada Allah, tidak perlu pun CCTV untuk menjaga mereka. Hanya iman yang memelihara dan mendisiplinkan mereka. Semakin banyak cadangan penyelesaian yang caca merba menunjukkan betapa semakin lemah dan jauhnya manusia dari agama.
Berat mata memandang, berat lagi bahu ana yang memikulnya. Walaupun sebenarnya, semua guru adalah guru disiplin, tetapi apa-apa hal pun yang terjadi, ana yang kena dulu. Alhamdulillah, pada sesi kali ini ada 3 orang lagi ustaz-ustazah yang membantu ana dalam unit disiplin ini. Sebenarnya, sejak beberapa tahun yang lepas (yang ana tahu), sekolah ana memang melantik guru disiplin di kalangan guru agama. Semoga dengan peluang yang diberikan oleh Allah ini, murid-murid boleh tahu dan sedar bahawa disiplin adalah bermula dengan memelihara agama mereka. Orang yang menjaga agamanya adalah orang yang berdisiplin, manakala orang yang berdisiplin tidak semestinya menjaga dengan baik agamanya.
Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam & Bahasa Arab 2016
9 tahun yang lalu
0 Komen:
Catat Ulasan