28 Mac 2010

Sejarah Sekolah


Latar belakang sekolah


Sekolah Kebangsaan Parit Patah diasaskan oleh Tuan Haji Marzuki b Merah. Beliau merupakan Ketua Kampung Kg Parit Patah ketika itu. Beliau telah berusaha untuk mendirikan sebuah bangunan sekolah bagi kemudahan pendidikan anak-anak buahnya. Dengan titik peluh penduduk kampung, bangunan sekolah ini telah didirikan di atas tanah wakaf peninggalan arwah ayahanda Tuan Haji Marzuki.


Tanpa bantuan dari pihak kerajaan, penduduk kampung telah berjaya mengumpul wang melalui kutipan derma sebanyak RM 2000.00 untuk membeli bahan keperluan pembinaan bangunan. Bangunan sekolah ini telah dibuat dengan menggunakan kayu, atap, zink dan batu.


Sekolah ini telah dibuka pada 21 September 1954 dan diberi nama Sekolah Rakyat Parit Patah, Pontian, Johor. Bangunan ini panjangnya 100 kaki dan lebar 24 kaki serta terletak di atas tapak tanah seluas satu ekar.


Oleh kerana kawasan ini kecil dan tidak sesuai untuk pembinaan sebuah sekolah kebangsaan mengikut pelan, satu tapak lain bersebelahan tanah Allahyarham Tuan Haji Marzuki telah diperoleh oleh Kementerian Pendidikan. Pada tahun 1972, Kementerian Pendidikan telah berjaya membeli tanah seluas tiga ekar dari penduduk setempat dan didirikan sebuah bangunan satu tingkat yang mengandungi 4 buah bilik darjah, 2 buah bilik air(lelaki dan perempuan), 1 buah pejabat, 1 buah bilik rehat dan 2 buah stor.Dengan pembinaan bangunan baru ini, nama Sekolah Rakyat Parit Patah telah bertukar kepada Sekolah Kebangsaan Parit Patah, Pontian pada 17 Januari 1972.


Pada tahun 1988, sebuah kantin kecil telah dibina di atas peruntukan PPD. Sebuah bangsal basikal, tempat letak kereta dan penerapan kawasan perhimpunan sekolah telah diperoleh atas sumbangan YB wakil rakyat dan Pejabat Menteri Besar. Pada tahun itu juga, sebuah stor sukan dan pekerja telah dibina.


Pada tahun 1989 pula, 2 buah bilik darjah tambahan projek kilat oleh KPM telah dibina dan salah satunya digunakan sebagai bilik PSS dan Perpustakaan. Bangunan tambahan 3 tingkat juga telah dibina dan siap digunakan pada tahun 1999. Bangunan ini lengkap dengan 6 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, bilik KH, bilik muzik, bilik komputer, bilik mesyuarat, bilik guru, perpustakaan dan bilik tayang. Dengan adanya bangunan tambahan ini, telah memberi ruang yang lebih luas dan selesa bagi warga sekolah ini.


Pada tahun 2001, sekolah ini telah mendapat peruntukan bagi penyenggaran dan baik pulih bangunan dan kawasannya. KPM juga telah membeli tanah seluas 2 ekar bagi tambahan kawasan sekolah dari individu setempat.


Kini, Sekolah Kebangsaan Parit Patah telah mempunyai bangunan yang lengkap, selesa, ceria dan menjadi tempat anak-anak Kampung Parit Patah serta penduduk sekitar menimba ilmu demi masa depan mereka.




1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum,

Syabas kepada semua tenaga pengajar SKPP diatas usaha yang telah dicurahkan bagi meningkatkan prestasi SKPP. Sebagai ex-student SKPP ('77-'82) saya amat berbangga kerana telah bersekolah di sini.

Tahniah dan syabas.

Rafizah Md.Aman
UiTM Kampus Segamat

Template by - Abdul Munir - 2008