Sebagai seorang guru disiplin merangkap guru agama, sudah banyak kali saya bersabar dan terus bersabar untuk tidak memberi komen apa-apa terhadap pelbagai keratan berita yang dikerat-dikerat dari suratkhabar (kalau ditampal di papan kenyataan bilik disiplin sekolah memang tak muat dah) dan juga yang didengar dan dilihat dari televisyen. Sebenarnya, saya tak ada masa pun nak beri komen. Orang yang suka komen sikit atau banyak di luar sana tu sebenarnya dia hanya pandai komen sahaja lah. Kiranya, memberikan komen tentang masalah disiplin lebih banyak dari membuat kerja untuk mengatasi masalah disiplin. Tidak macam saya dan guru-guru yang sewaktu dengan saya yang memang setiap hari memerah otak dan keringat berhadapan dengan pelbagai kerenah dan ragam anak orang.
Memang sudah setiap hari keluar berita pasal disiplin guru dan murid. Saya dah kata dah dulu sempena Hari Guru dulu, media massa akan terus mensensasikan berita disiplin guru khasnya selepas berakhirnya sambutan Hari Guru dulu. Seminggu sebelum dan seminggu selepas sambutan Hari Guru, semua orang kata yang baik-baik sahaja untuk guru. Tetapi, selepas itu, segala ucapan yang baik-baik itu 'berkubur' dan akan 'bangkit hidup' semula tahun depan pada sambutan Hari Guru yang seterusnya.
Pelbagai perasaan yang muncul dalam diri saya ketika membaca pelbagai berita, SMS, surat pembaca, artikel dan komen tentang masalah disiplin sama ada guru atau murid. Apabila masalah disiplin itu berpunca daripada seorang guru, tetiba muncul macam-macam orang yang memang betul cerdik pandai dan orang yang entah dari planet mana entah pun nak cuba-cuba nak bagi tahu kepada seluruh penduduk bumi ini bahawa memang dia seorang yang bijak pandai dalam dunia perguruan, dunia persekolahan dan dunia pendidikan ini. Jika masalah disiplin itu berpunca daripada seorang murid, hal yang sama juga berlaku.
Dalam kemeriahan permasalahan disiplin guru dan murid muncul di dada-dada akhbar, saya berjaya juga mengadakan mesyuarat Badan Disiplin dan Pengawas untuk penggal kedua ini. Sukar hendak mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat kerana terlalu banyak mesyuarat, program dan aktiviti sekolah yang berebutkan tarikh yang sama. Betapa sibuknya cikgu membuat amal jariah demi masa depan anak orang. Sampai tak cukup kaki dan tangan. Kalau tidak diuruskan dan ditangani dengan bijaksana, memang boleh jadi pening kepala cikgu dibuatnya. Itu sebab setengah cikgu tak sampai hati dan tak sengaja 'terdera' anak orang.
Percayalah wahai penduduk bumi ini, bahawa tiada guru yang ingin mendera anak orang. Mereka hanya mendenda sahaja anak orang, bukan mendera. Jangan samakan mendera dan mendenda. Kalau ada anak orang memang disahkan dan diluluskan oleh pihak berkuasa sebagai suatu bentuk deraan, maka ianya dilakukan dengan tidak sengaja, tidak sampai hati dan tidak sedar diri. Tiada guru yang mampu menggunakan tangan dan kakinya untuk mendera dalam keadaan mentalnya waras. Jadi, wahai penduduk bumi ini, maafkanlah guru jenis ini. Dia tidak 'bersalah'. Dalam hal ini, saya memang kena jadi 'peguambela' rakan-rakan guru.
Memang betul tajuk tulisan saya sempena Hari Guru dulu, HANYA GURU YANG KENAL GURU.
Saya hanya membela ketidaksengajaan dan ketidaksampaian hati mereka 'mendera' anak orang. Hukuman tetap perlu dijatuhkan kepada mereka yang bersalah walaupun dengan tidak sengaja. Tetapi, saya membangkang sepenuhnya hukuman, tuduhan, cacian, makian yang dijatuhkan dan dilemparkan terhadap rakan-rakan guru yang hanya mendenda sahaja anak orang. Kena rotan sikit dihukum. Kena cubit sikit diambil tindakan. Kena tengking sikit disaman. Kena suruh cuci tandas masuk suratkhabar. Apa nak jadi dengan penduduk bumi ini tak tahu lah saya.
Saya hanya mampu mengeluh dan menggelengkan kepala tanda 'selemah-lemah iman' ketika dapat tahu semasa Kursus Pengurusan Disiplin dulu tentang pelbagai pantang larang yang tidak boleh dilakukan oleh seorang guru terhadap muridnya. Bayangkanlah, jelingan tajam pun boleh kena tindakan tatatertib. Bukan sahaja guru, bahkan guru disiplin zaman sekarang macam saya ni pun tak boleh nak buat macam-macam yang boleh dilakukan oleh tok-tok guru saya yang mendisiplinkan diri saya ketika sekolah dulu sampai saya berjaya menjadi seorang guru yang sangat berdisiplin (ehem..ehem).
Hanya Guru Besar sahaja yang boleh merotan murid. Guru disiplin tidak boleh merotan selagi guru besar tidak menurunkan kuasa merotan kepadanya. Percaya atau tidak, semenjak saya dilantik sebagai guru disiplin, saya tidak pernah pegang rotan. Apa tidaknya, rotan pun dah tak wujud di sekolah! Kalau anda nak ketawa, silakanlah, saya pun sedang ketawa sambil menaip ni.
Lagi satu hal, saya pun tak faham kenapa ramai sangat nak sibuk perdebatkan sama ada merotan ni patut ke tak wujud di sekolah. Alahai orang kita, bukankah kita semua dah setuju bahawa merotan ini adalah sebagai jalan terakhir seorang guru hendak mendenda seorang murid yang degil lagi tak dengar kata. Bahkan, kita semua dah sepakat secara ijmak bahawa merotan yang berbentuk denda ini tidak sampai mencederakan murid. Kalau dah sampai mencederakan murid, itu bukan denda lagi, itu dah jadi kes dera! Kalau dah kena rotan mestilah rasa sakit. Yang paling kelakar tu ada pendapat dari makhluk asing planet mana ntah mensyaratkan merotan jangan sampai sakit. Itu makhluk asing yang ada gelaran Dato' yang ada PhD lagi tu (watak ini hanya rekaan semata-mata). Mari kita ketawa sama-sama lagi.
Saya ingatkan sekali lagi, bahawa guru TERPAKSA, YA..TERPAKSA merotan kerana budak tu dah DEGIL SANGAT, MELAWAN CAKAP, KURANG AJAR, BIADAP (sila baca pelbagai ucapan luahan perasaan SMS guru-guru di akhbar-akhbar tentang maksud ini, banyak lagi contoh kebiadapan murid yang luar biasa dan melampau yang malu untuk saya tulis di sini) terhadap nasihat guru yang tidak pernah kenal penat dan jemu mengajar dan mendidiknya seharian. Tidak ada guru yang akan merotan anak orang yang dengar cakap, yang rajin belajar, yang hormat kepada guru. Yang ini pun kita semua memang dah faham, tak perlu nak diperdebatkan.
Jadi, saya rasa saya sudah menjawab dan memberi komen terhadap 3 isu utama yang banyak diperdebatkan iaitu kuasa guru, dendaan bukan deraan dan hukuman rotan. Memang agak melegakan apabila pihak tertentu mula hendak menyemak semula beberapa perkara yang berkaitan dengan disiplin dan bidangkuasa guru dalam menghukum. Tunggu dan lihat sahaja lah apa hasilnya terhadap guru dan murid kita nanti.
Kepada para ibu bapa yang memang bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak mereka di rumah, kami guru-guru yang menerima amanah di sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kerana memahami kami. Kalau anda berasa pening kepala untuk menguruskan tingkah laku dua orang anak anda di rumah, maka tidak perlu hairan bahawa setiap orang dari kami terasa hendak migrain untuk menguruskan ratusan dan ribuan jenis tingkah laku anak-anak anda di sekolah.
Percayalah, kalau anda berikan kami sebatang rotan untuk mengajar dan mendidik anak anda, kami akan campakkan dan buangkan semula rotan itu ke dalam tong sampah. Kami tidak akan fikir dulu sebelum buang. Bukankah ianya lebih baik dari terpaksa campak dan buang murid dari sekolah?
Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Islam & Bahasa Arab 2016
9 tahun yang lalu
0 Komen:
Catat Ulasan