25 Jun 2008

Oman bantu perkasa J-Qaf

Oleh Azrina Ahzan
Negara Teluk rangka program strategik mantap sistem pendidikan Islam
PUTRAJAYA: Oman bersedia membantu Malaysia dalam usaha merangka satu program khas bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Arab guru yang mengajar mata pelajaran di bawah program Jawi, Al-Quran dan asas Fardu Ain (J-Qaf).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bantuan dari Oman itu dijangka dapat memperkukuhkan lagi program J-Qaf, khususnya dalam memperkasakan sistem pendidikan Islam di negara ini.

"Jika kita berminat untuk mendapatkan bantuan Oman bagi memperkasakan lagi program J-Qaf, mereka pula berminat terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Justeru, kedua-dua negara bersetuju supaya usaha berkongsi maklumat dan pengalaman akan dipertingkatkan kerana ia mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Berikutan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani kelmarin bertujuan meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala kedua-dua negara, selain memasarkan kepakaran dan produk pendidikan negara masing-masing.

MoU itu ditandatangani Hishammuddin mewakili Kerajaan Malaysia, manakala Oman diwakili oleh Menteri Pelajarannya, Yahya Saud Al-Sulaimi. Beliau kini dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Oman mulai 30 Mei lalu hingga hari ini, susulan lawatan rasmi Yahya ke Malaysia pada 6 Jun lalu.

Dalam lawatan itu, Hishammuddin turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Oman, Syeed Fahad Mahmood Al-Said di pejabatnya. Antara lain kandungan MoU itu ialah usaha menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan supaya segala kegiatan dan program yang diadakan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.

Menerusi MoU itu juga, Malaysia akan menawarkan pakej Latihan Kepemimpinan dan Pengurusan Sekolah kepada beberapa orang pengetua dan pegawai pelajaran dari Oman untuk mengikuti satu sesi latihan komprehensif di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

0 Komen:

Template by - Abdul Munir - 2008